13 JENIS MAKANAN TRADISIONAL MASYARAKAT KADAZANDUSUNMURUT DI SABAH | SABAHAN STUDIO
#visitsabah #makanantradisionalsabah #kadazandusunmurut
Category
Food & Drink
Share
- Hinava Hinava merupakan hidangan yang dimasak tanpa menggunakan api. Hinava dihasilkan daripada isi ikan segar yang dicampurkan bersama biji buah bambangan yang diparut. Selain itu, bahan lain seperti cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam juga dicampurkan.
- Nonsoom Ia merupakan sejenis jeruk yang terdiri daripada beberapa jenis nomsoon. Antara nomoon yang popular adalah Nomsoon Sada (ikan), Nomsoon Bambangan (buah) dan Nomsoon Tuhau (ulam/sayuran).
- Bosou Dikenali sebagai Tonsom ini juga merupakan pekasam atau jeruk. Biasanya ia dihasilkan dari ikan Kepayang ataupun daging mentah hasil dari pemburuan di hutan. Ikan atau daging mentah yang digunakan akan digaul bersama nasi putih, garam, serta buah – buahan yang terdiri dari buah nangka, nenas muda serta tuhau bagi penambah perisa. Ia juga boleh dicampur dengan batang pisang atau polod. Sekiranya nasi yang dicampurkan baru masak, ia perlu dibiarkan sehingga mencapai suhu bilik terlebih dahulu. Bosou ini juga dicampurkan dengan pangi sebagai bahan pengawet yang boleh mengelakkan bosou menjadi basi dan berbau busuk. Kesemua campuran ini akan diperam dalam bekas dan ditutup rapat selama seminggu atau sehingga ia benar – benar telah masak sebelum boleh dimakan.
- Tuhau Umbut tepus atau Tuhau dalam Bahasa Kadazan merupakan sejenis sayur beraroma yang berasal dari keluarga Zingiberaceae. Ia mempunyai bau serta rasa yang agak masam dan seakan – akan halia. Tuhau merupakan sejenis tumbuhan yang dijadikan sebagai hidangan tradisional masyarakat Kadazan. Tuhau juga dikenali dengan nama saintifiknya E.coccinea. Ia banyak terdapat di kawasan Tambunan, Ranau dan Keningau, Sabah.
- Sup Manuk Lihing Sup Manuk Lihing ini dikenali sebagai Sup Ayam Lihing dalam Bahasa Melayu. Ia merupakan sejenis makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah. Bahan – bahan yang diperlukan untuk memasak hidangan ini ialah seekor ayam kampung , minuman keras yang dikenali sebagai ‘Lihing’ serta hirisan halia.
- Tapai Tapai merupakan kegemaran masyarakat Kadazan dan merupakan hidangan tradisional mereka. Ianya juga sering dihidangkan semasa meraikan majlis – majlis perayaan. Biasanya tapai diperbuat daripada beras ataupun ubi kayu. Tapai juga turut dikenali dengan nama Lihing.
- Nasi linopot Merupakan nasi yang dibungkus di dalam daun. Lopot bermaksud bungkus atau lipat. Daun yang biasanya digunakan untuk membungkus nasi adalah daun punti (pisang), timadang (tarap), kobu, tangaq, longkobung, tarabak dab tooropoi.
- Butod Butod merupakan sejenis ulat yang hidup dan tinggal di dalam pokok rumbia yang reput. Ia turut dikenali dengan nama Rhynchophorus Ferrugineus dan merupakan makanan istimewa di kalangan masyarakat tempatan. Setelah dewasa, butod turut dikenali sebagai kumbang sagu atau kumbang kelapa, kerana ia juga boleh ditemui di pokok kelapa.
- Losun Losun merupakan sejenis daun bawang liar tempatan atau dikenali juga sebagai tomboutung. Ia kelihatan seakan daun kucai dan mempunyai bau yang agak kuat. Biasanya kaum Kadazan menjadikan ia sebagai salad atau sayur campur. Biasanya losun ini dicampurkan dengan bunga kantan dan juga cili putih dan dimasak bersama ikan masin ataupun ikan bilis. Ia boleh dimakan bersama nasi putih
- Bambangan Bambangan merupakan buah yang sangat terkenal di kalangan suku kaum Kadazan. Malah, ia menjadi kegemaran penduduk Sabah. Buah ini sering dijadikan sebagai jeruk dan dimakan dengan mencampurkannya dengan hirisan cili.
- Ambuyat Ambuyat merupakan makanan tradisi suku kaum Kadazan jua. Ia terhasil daripada pokok rumbia yang telah diproses menjadi sagu rumbia. Biasanya ambuyat ini dimakan bersama sayur – sayuran, sup ikan serta lauk pauk lain yang bersesuaian mengikut selera masing – masing. Sagu tersebut perlu dicampurkan dengan air suam dan garam terlebih dahulu sebelum dicampurkan dengan air panas.
- Pinaasakan Pinaasakan atau pinarasakan merupakan hidangan yang berasaskan isi ikan samada ikan air tawar atau ikan air masin. Ia antara makanan tradisi kaum Kadazan dan sangat popular di kalangan masyarakat Sabah. Hidangan ini menggunakan ikan basung. Ianya akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dicampur dengan sedikit kunyit dan halia yang telah ditumbuk. Antara bahan yang digunakan adalah sedikit biji asam jawa atau buah asam ‘takob-bakob’, garam, serbuk perasa dan sedikit air. Kemudian, kesemua bahan yang telah digaul bersama akan ditumis di atas dapur dan dimasak sehingga air hampir kering.
- Tinonsok Takano Tinonsok Takano atau tinonsok kasau makanan yang popular di kalangan suku kaum Kadazan. Ia merupakan hidangan nasi atau ubi keledek tumbuk. Dahulunya, Tinonsok Takano ini diperbuat bagi memperbanyakkan jumlah nasi agar dapat dimakan seisi keluarga. Makanan ini dihasilkan bagi menjimatkan kegunaan beras untuk kegunaan Pesta Keamatan.